MPRT Visit to Agricultural Farm
Lawatan kerja Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan ke Daerah Brunei Muara pada 17 Jun 2021.
Pada 17th Jun 2021 yang lalu Jabatan Pertanian Dan Agrimakanan dibawah Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan telah mengadakan lawatan kerja ke tapak ladang Man Foods Agricultural Farm di Lampaki, Mulaut, Mukim Sengkurong.
Tujuan lawatan kerja tersebut adalah bagi melihat perkembangan KKP (Kawasan Kemajuan Pertanian), satu program inisiatif oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan untuk mengusahakan ladang-ladang sebagai tapak pertanian.
Hadir bagi melihat perkembangan tersebut adalah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (SSUP) Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali Bin Apong serta kakitangan-kakitangan dari Jabatan Pertanian.
Pengurus Man Foods Enterprise iaitu Pengiran Haji Mohammad Isman Hisham bin Pengiran Haji Othman hadir bagi menyambut Menteri SSUP dan mempelawa beliau untuk melihat sekeliling perkembangan ladang Man Foods Agricultural Farm yang kini masih dalam proses pembangunan.
Dalam ucapan alu-aluan Pengurus Man Foods Enterprise, Pengiran Isman berkongsi bahawa ladangnya masih di tahap awal kemajuan menggunakan kaedah fertigasi terbuka, dengan fasa berikutnya menggunakan sistem Rumah Kaca (Greenhouse) untuk mengembangkan ladangnya.
“Pembangunan dalam jangka masa lama akan melihat syarikat ini mempunyai kabin irigasi nya sendiri serta bangunan staff house untuk menempatkan pekerja-pekerja Man Foods Enterprise yang akan ditempatkan berhampiran ladang disini.” Tambah Pengiran Isman lagi.
Dalam masa yang sama Pengiran Isman juga mengongsikan cabaran syarikat beliau dalam merealisasikan visi Program KPP (Kawasan Kemajuan Pertanian) dan menyuarakan harapan untuk bekerjasama dengan Jabatan Pertanian secara lebih dekat lagi seperti akses kepada bantuan kemudahan-kemudahan pertanian serta tunjuk ajar.
“Justeru itu, Man Foods Enterprise berharap pengalaman dari pihak kementerian akan dapat memberi tunjuk ajar serta bantuan kepakaran sewajarnya agar ladang kami akan dapat meningkatkan potensi penyediaan produk sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan supaya ianya dapat mencapai tahap kecukupan diri atau ‘self-sufficieny level’, terutamanya untuk dieksport ke luar bersaing dengan pasaran di rantau Asia Tenggara dan juga pasaran antarabangsa.” Kata Pengiran Isman lagi.
Lawatan kerja tersebut diakhiri dengan mempelawa Menteri SSUP untuk melawat sekeliling ladang yang diusahakan oleh Man Foods Agricultural Farm.